Sunday, March 27, 2011

Taib sahkan pertahan kerusi Balingian


Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Balingian dalam pilihan raya negeri ke-10 akan datang.

"Anda tanya saya apakah saya akan bertanding di Balingian, ya... itulah sebab saya berada di sini hari ini untuk melawat pejabat ini," katanya ketika ditanya oleh wartawan semasa kunjungan singkatnya ke Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Balingian di Mukah.
Taib yang sudah 30 tahun berkuasa di Sarawak pada 19 Mac lalu, sekali lagi memberitahu bahawa beliau akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri pada 16 April ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh masa bagi beliau mengundurkan diri.

Pengumuman itu adalah kali ketiga Taib mengeluarkan kenyataan sebegitu selepas berkata perkara yang sama di Mukah dan Betong awal tahun ini.

Pada persidangan akhbarnya itu, Taib juga berkata parti itu akan meletakkan kira-kira 25 peratus muka baru.

Cukup bersedia

Beliau berkata BN negeri juga sedang dalam proses membereskan senarai calonnya.

"Setelah kami membereskannya, saya akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk pengesahan beliau, mungkin pada 1 atau 2 April," katanya.

Mengenai kemungkinan BN meletakkan lebih ramai calon wanita, Taib berkata sebelum ini terdapat empat hingga lima orang yang berpotensi.



"Tapi mereka menolak kerana komitmen keluarga, pertimbangan kerjaya dan faktor-faktor lain," katanya.

Ditanya tentang persiapan PBB, beliau berkata parti itu cukup bersedia sekarang untuk menghadapi pilihan raya.

Tentang beberapa orang penyandang yang membayangkan baru-baru ini bahawa mereka tidak mahu dicalonkan semula, Taib berkata ini adalah petanda demokrasi yang positif tapi "tentulah tidak ada orang yang boleh kekal di situ selamanya".
Read more...

Ceramah Anwar diganggu FRU, tiga ditahan



Tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis dan kekecohan berlaku semasa ceramah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak malam tadi.

Kira-kira 10 anggota polis bertindak menghalang ketua umum
PKR itu daripada berucap lebih daripada 15 minit yang dibenarkan.

Anwar ketika itu sedang berucap di majlis pelancaran kempen DNA (Datuk Najib Altantuya) yang dihadiri kira-kira 1,500 orang, kebanyakannya penyokong PKR.
Hadirin tidak puashati dengan arahan supaya Anwar berhenti berucap, dan keadaan menjadi kecoh. Kerusi, botol air, bata dan kayu kelihatan dibaling ke arah anggota polis anti-rusuhan.

Pada satu ketika, apabila anggota polis menghampiri pentas, para penyokong mula berkumpul di situ dan enggan memberi laluan.

Anggota Unit simpanan persekutuan (FRU) kemudiannya terpaksa
menggunakan perisai untuk menolak mereka yang menutup laluan.

Bagaimanapun, Anwar dan timbalannya Azmin Ali, yang juga ahli parlimen Gombak, dibawa beredar dari pentas, tetapi orang ramai yang kelihatan marah tetap berkumpul di situ.

Terpaksa berundur

Anggota polis akhirnya terpaksa berundur apabila hadirin menjadi agresif.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin berkata tiga orang yang ditahan ialah Maslan Abdul Raus dan Helmi Rizal manakala seorang lagi yang belum dikenali, dan masing-masing dibawa ke balai polis Hulu Kelang dan ibupejabat polis Ampang.

Anwar, yang menghadiri satu lagi majlis makan malam PKR di Kuala Selangor, tiba 30 minit sebelum kekecohan itu berlaku.

Para hadirin berdiri menyambut ketibaan beliau kerana mereka mahu mendengar penjelasannya ekoran pendedahan terbaru video seks yang dikaitan dengannya.

Pada ucapannya itu, Anwar mengingatkan perdana menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor supaya tidak menggunakan taktik kotor tetapi lawan secara bermaruah di gelanggang pilihan raya.

"Dia guna media, kecam kita dari pagi sampai petang sampai malam, Kita nak jawab, tak boleh, konon tidak ada permit. Saya tak salahkan OCPD, dia ikut arahan saja.

“Saya salahkan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan isteri dia Rosmah Mansor yang takut berdepan dengan kita," kata Anwar.

Tunggu pilihan raya

"Saya mahu beritahu Najib supaya tunggu pilihan raya nanti. Jangan takbur," tambah Anwar kepada laungan takbir dan reformasi oleh penyokong Pakatan.

Anwar berkata pihak polis dan Najib malah seluruh rakyat tahu siapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, pengerusi Risda dan bekas Ketua Menteri Melaka yang mengaku mendalangi penayangan video lucah fitnah untuk mengaibkannya di Hotel Seri Carcosa Isnin lalu.

Rahim terpalit dengan tuduhan merogol seorang pelajar sekolah dan dakwaan terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka pada tahun 1994.

"Sekarang ini video seks pula. Saya nak tanya, polis tak tahu ke siapa Rahim Thamby Chik? Tak tahu ke kes dia dulu di Melaka? Orang ini nak jadi dewa, saya pulak kena jadi penjenayah," katanya.

"Saya salahkan Najib dan Rosmah kerana tidak berhadapan dengan saya. Orang rasuah dan penjenayah diangkat. Kita mahu sistem yang demokratik. Mereka mahu alih pandangan kita.

“Kita bukan bodoh. Sebab apa dia (Datuk T) tidak tangkap, sebab dia pencacai Umno," kata Anwar dengan marah.

Ketua pembangkang itu bagaimanapun terpaksa meringkaskan ucapannya itu kerana campurtangan polis untuk menyuraikan majlis ceramah berkenaan.

Namun beliau sempat memberi peringatan kepada Najib supaya bertaubat dan menghentikan penggunaan amalan keji untuk mencari kelebihan politik.

"Apa jenis pemimpin ini. Saya hendak tanya Rosmah, tanya Najib, kamu ada anak, kamu ada bini, kamu ada keluarga, boleh orang aibkan keluarga kamu begitu rupa. Manusia jenis apa macam ini?" tanya Anwar dengan nada kesal.
Read more...

Friday, March 25, 2011

Taib: Manifesto BN S'wak 'ringkas dan mudah'


Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi pilihan raya negeri ke-10 adalah 'ringkas dan mudah' dan akan diumumkan kepada orang ramai selepas penamaan calon, kata Pengerusi BN negeri dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Saya baru saja meneliti draf akhir. Ia ok, sangat ringkas dan mudah," katanya selepas merasmikan Pameran Bangunan Perdagangan anjuran Institut Arkitek Malaysia Bahagian Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di Kuching.

Taib, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata kandungan manifesto itu dipermudahkan untuk membolehkan anggota BN memahami dan mengaitkannya dengan kawasan pilihan raya masing-masing.

"Di peringkat negeri, kami telah banyak kali berbincang mengenainya... asasnya sangat mudah hinggakan setiap anggota BN akan mendapati senang untuk mengaitkannya dengan kawasan pilihan raya mereka," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pencalonan pada 6 April manakala pengundian pada 16 April.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak 2006, BN Sarawak mengetengahkan slogan 'Sarawak yang Aman, Progresif dan Makmur' menerusi manifesto yang melakar masa depan negeri, kisah kejayaan dan janji ke arah pengagihan kekayaan secara saksama dalam kalangan semua kaum di negeri ini.

Sementara itu, timbalan presiden PBB dan timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu berkata sebuah jawatankuasa khas sedang giat merangka manifesto berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa persiapan pilihan raya PBB di ibu pejabat parti itu di sini, Jabu berkata meskipun beliau tidak menganggotai jawatankuasa khas itu, secara umumnya manifesto BN Sarawak akan menyentuh tentang falsafah dan kejayaan di sebalik perkembangan politik yang merangkumi potensi pelbagai peluang ekonomi di negeri ini seperti Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) dan Hab Halal Tanjung Manis.

Mengenai persiapan parti, beliau berkata jentera pilihan raya BN di peringkat akar umbi telah pun digerakkan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan perinciannya memandangkan ia merupakan sebahagian daripada strategi pilihan raya parti komponen BN itu.

BN Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN, manakala DAP memperoleh enam kerusi dan Parti Keadilan Rakyat serta Parti Cinta Malaysia (PCM) menerusi seorang calon bebas, masing-masing satu kerusi.

Kali terakhir pilihan raya negeri diadakan di Sarawak ialah pada 20 Mei 2006.
Read more...

Johari: 'Datuk Shuib pun tak percaya'



Ahli parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendakwa bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim yang juga bapa saudaranya, juga tidak percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang dalam video seks yang ditunjukkan kepadanya.

"Masa kami turun dalam lif. Dia (Shuib) kata, Pak Njang juga tidak percaya," dakwa Johari.

Menurut Johari, Shuib hanya membawa beliau menonton video itu bagi membuat pengesahan sama ada lelaki dalam video itu benar-benar Anwar.

Malah, Johari (kiri) mendakwa, Datuk Trio itu bukanlah tiga, sebaliknya hanya melibatkan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, Johari menjangkakan beliau menjadi pilihan Datuk T kerana hubungannya yang rapat dengan beberapa pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tum Razak sendiri.

Selain itu, tambahnya, latar belakangnya sebagai "orang sembahyang" mungkin menyebabkan isu moral berkesan digunakan padanya.

"Saya memanglah stylish, tapi kami sembahyang. Memanglah macho, tetapi saya sembahyang," katanya berseloroh.

Sambil mendakwa apa berlaku sebagai konspirasi, Johari menafikan beliau meminta wang "pelincir" sebanyak RM100,000 untuk membawa lebih ramai wakil rakyat Pakatan menonton video seks.

"Takkanlah RM100,000. Kita ahli parlimen ni bukanlah lekeh sangat. Baik saya minta RM3 juta atau RM4 juta," katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu menyaman Eskay dan Rahim, Johari enggan melukannya.

"Tak perlulah. Mereka pun old man," katanya lagi.
Read more...

Chegubard yakin lelaki dalam video bukan Anwar


Bekas ahli jawatankuasa pusat PKR Badrul Hisham Shaharin berkata beliau telah menonton video lucah yang didakwa memaparkan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Badrul Hisham yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard berkata beliau yakin bahawa individu yang ditunjukkan dalam video berkenaan bukanlah Anwar.

"Video tersebut mungkin saja asal, tetapi pelakon dalam video tersebut saya yakin bukan Anwar.

"Memang sekali imbas kelihatan seperti Anwar tetapi bagi sesiapa yang rapat dan biasa melihat perwatakan atau gerak geri Anwar pasti tahu itu bukan Anwar," katanya dalam satu sidang media petang ini.

Menurutnya, beliau menonton video berkenaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada malam Isnin lalu.

Beliau pergi ke hotel berkenaan atas jemputan seorang lelaki yang dinamakannya sebagai Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

"Tujuan saya dipanggil adalah untuk diberi sesalinan video itu untuk ditunjukkan kepada (presiden parti) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail," katanya lagi.
Katanya, beliau juga dipanggil agar dapat mendesak Wan Azizah dan Anwar supaya berhenti daripada mengetuai PKR dan meninggalkan politik.

Berpura-pura

"Untuk tujuan mendapatkan video itu, saya telah berpura-pura untuk bersetuju mengenai apa yang diberitahu kepada saya mengenai video tersebut," katanya.

Menurutnya beliau telah diminta memberi persetujuan untuk menjadi orang tengah bagi membawa video berkenan kepada Wan Azizah.

"Walau bagaimanapun. ia terbantut setelah Datuk T meminta ruangan untuk menayangkan video itu sendiri kepada Wan Azizah," katanya.

Badrul Hisham juga berkata, beliau telah menonton video itu sebanyak dua kali bersama Eskay dan juga seorang lagi yang dinamakannya sebagai bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

"Semasa itu Datuk (Eskay) memberi penerangan mengenai video tersebut.

"Kami juga dimaklumkan bahawa Tan Sri Rahim Thamby Chik baru menonton video tersebut dan ini berbeza sekali dengan kenyataan beliau pada 23 Mac.

"Ketika menonton bersama, Tan Sri Rahim seolah beberapa kali terkejut dan beristighfar seolah inilah kali pertama menonton," kata Badrul Hisham lagi.
Read more...

Popular Posts