Thursday, April 14, 2011

Solat hajat seluruh negara malam ini

PAS mengarahkan semua ahli seluruh negara melaksanakan solat hajat pada malam ini untuk kemenangan calon PAS dan Pakatan Rakyat di Sarawak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata ni adalah jalan yang terbaik bagi pejuang agama Allah supaya Allah memberi kesejahteraan kepada calon PAS dan petugas PAS di Sarawak.

“Kita perlu memohon kepada Allah semoga pintu hati pengundi terbuka untuk menyokong perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

“Alhamdulillah, petugas PAS dan PR menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan perubahan politik di Sarawak,” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memaklumkan, Mursyidul Am dan Presiden PAS telah mengarahkan semua ahli agar menunaikan solat hajat di seluruh negara malam ini.

Idris dalam kenyataannya menambah, semua penyokong PAS di seluruh negara hendaklah bermohon kepada Allah agar keselamatan petugas-petugas parti selamat menjalankan tugas sepanjang pilihan raya ini.

“Nampaknya bunga-bunga kemenangan sudah nampak, penerimaan masyarakat tempatan walaupun berlainan agama dan budaya,” ujarnya.

Menurutnya, PAS sudah tidak asing lagi kepada mereka, terutama generasi muda.
Read more...

Zentrum ramal BN Sarawak akan jatuh

KUCHING, 14 April: Jika betullah kajian yang dibuat oleh Zentrum Future Studies, kerajaan BN Sarawak bakal jatuh dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini apabila Zentrum meramalkan, BN hanya akan mendapat 24 kerusi Dun.

Pakatan Rakyat pula, Zentrum meramalkan akan mendapat 27 kerusi, Snap 13 kerusi manakala selebihnya calon bebas iaitu tujuh kerusi.

Hasil ini diperolehi berdasarkan kajian Zentrum melalui projek Sarawak Election (SELECT 2011) - iaitu Prediksi Period 2 oleh badan yang dipimpin oleh Dr Abu Hassan Hasbullah itu.

(Rajah: Sarawak Election (SELECT 2011) - Prediksi Period 2: Kedudukan parti)

Kajian itu meramalkan, PAS akan menang di tiga dari lima kerusinya iaitu N24 Beting Maro (PAS 53%, BN 47%), N22 Sebuyau (PAS43%, BN 40%, Bebas 17%) dan N3 Tanjong Datu (PAS47%, BN 35% dan Bebas 18%).

Dua lagi kerusi PAS adalah N20 Sadong Jaya (PAS 41%, BN 43% dan Bebas 16%) dan N15 Muara Tuang (PAS48% dan BN 52%).

Kajian itu juga meramalkan, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud akan kalah di Balingian di tangan sepupunya, Datuk Salleh Jafarudin (BN 33%, PR 30% dan Bebas 37%).

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pula diramalkan kajian ini akan menang di Ba'kelalan (PR64% dan BN46%).

Keputusan ini berdasarkan laporan prediksi period 2 yang dibuat oleh Zentrum PRN Sarawak 2011 yang disiarkan dalam lamannya di facebook hari ini.

Ia akan berubah bila-bila masa berdasarkan maklumat terbaru yang diterima oleh petugas kajian ini.

Namun begitu, ketepatan kajian ini agak meragukan untuk dibuat keputusan muktamad kerana semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, ramalan yang dibuat oleh Zentrum tersasar apabila didapati calon Pakatan Rakyat dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim kalah kepada calon BN Kamalanathan.

Padahal keputusan akhir kajian Zentrum menunjukkan calon PKR itu akan menang dengan majoriti tipis.


Bagaimanapun, kajian ini bakal menjadi antara petunjuk awal ke manakah arah tuju pilihan raya Sarawak kali ini.

Sebelum ini, pengkaji PAS meramalkan, sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Menurut Malaysiakini pula, kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan.
Read more...

Thursday, April 7, 2011

Pastikan siasatan kematian pegawai Kastam adil

KUALA LUMPUR, 6 April: Anggota Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salahudin Ayub, berjanji akan mempastikan siasatan yang adil dilakukan ekoran kematian seorang pegawai kanan Kastam pagi ini di perkarangan bangunan SPRM Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS dan anggota Parlimen Kubang Kerian memberi reaksi segera terhadap kematian Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat sebagai pembantu pengarah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.

"Sebagai salah seorang Anggota Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai pihak yang berwajib bagi memastikan satu penyiasatan yang adil dapat dilaksanakan dengan segera ke atas kes ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Bagi beliau, kematian seorang pegawai Kastam yang membantu siasatan kes rasuah yang dikatakan jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi ini sangat menyedihkan.

"Sebagai anggota Parlimen, saya akan memastikan ia disiasat dengan cara yang telus dan diberikan penjelasan yang wajar oleh SPRM.

"Kita bimbang, ketika kematian Teoh Beng Hock masih lagi sedang disiasat oleh Suruhanjaya Diraja, kematian pegawai Kastam ini akan memberikan persepsi yang lebih buruk kepada SPRM," kata Salahudin.(gambar bawah)



Kematian pegawai kanan Kastam yang dikatakan jatuh dari tingkat 3 bangunan SPRM ke gelanggang badminton berhampiran pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur mengejutkan banyak pihak.

Pegawai kanan itu membantu siasatan membabitkan cukai tidak berbayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin dua hari lalu.

Pengarah Penyiasatan SPRM Mustafar Ali berkata, Allahyarham Ahmad Sarbani ditahan pada 1 April lalu di Klang berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, dia kemudiannya dilepaskan pada 2 April lalu pada jam 12.30 petang.

Lelaki itu datang semula ke pejabat SPRM di Jalan Cochrani di Kuala Lumpur untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya hari ini, kata Mustafar lagi.

Pegawai penyiasat telah memintanya menunggu di situ sementara pergi mengambil fail kes tersebut.

Bagaimanapun, apabila balik semula ke situ, dia mendapati pegawai Kastam itu sudah tidak ada.

Mayat Ahmad ditemui terbaring di atas gelanggang badmintion pada jam 10.15 pagi, kata Mustafar.

Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Seorang lagi dikesan mempunyai lebih RM1 bilion manakala dua lagi yang ditahan mempunyai lebih RM500,000 di dalam akaun masing-masing.

Salah seorang pegawai kastam yang ditahan dalam operasi itu dikesan mempunyai wang berjumlah beberapa juta di dalam akaunnya.
Read more...

Wednesday, April 6, 2011

'Itu bukan Anwar', kata Wan Azizah

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafikan dakwaan bahawa beliau adalah lelaki dalam video seks yang sebahagian daripadanya telah disiarkan di internet semalam.

Isteri Anwar yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kata video itu merupakan "bukti paling jelas" bahawa suaminya bukanlah lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur itu.

Membaca satu kenyataan hari ini, wan Azizah berkata, keluarganya telah memutuskan untuk menonton video
yang disiarkan di Internet itu dan mendapati jelas bahawa susuk badan lelaki berkenaan terlalu berbeza dengan susuk badan Anwar.

Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah pengerusi DAP Karpal Singh, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bapa mertua Anwar, Datuk Wan Ismail Wan Mahmud serta anak sulung ketua umum PKR itu, Nurul Izzah.
Turut hadir dalam sidang media itu, bapa mertua Anwar, Datuk Wan Ismail Wan Mahmud.

Menurut Dr Wan Azizah lagi, keluarganya telah diuji dengan pelbagai dugaan sejak 1998 dan pelbagai fitnah dan tuduhan telah dilemparkan terhadap Anwar.

"Setiap tuduhan tersebut adalah sendirinya terlalu berat, tetapi Datuk Seri Anwar terpaksa melalui satu demi satu tuduhan yang busuk, jelek dan jijik," katanya.

Namun, tambah beliau, jika disenaraikan semua tuduhan tersebut, nyata sekali tidak masuk akal bagaimana Anwar dapat melakukan kesemuanya yang bertentangan antara satu sama lain.

"Dalam kes video terbaru ini, kami sekeluarga memutuskan untuk menonton sendiri rakaman tersebut.

"Video tersebut adalah bukti paling kukuh bagi sesiapa yang benar-benar mengenali Datuk Seri Anwar bahawa tuduhan terbaru ini satu lagi fitnah zalim dan palsu.

"Siapa lagi yang lebih mengenali beliau dengan begitu intim kalau bukan kami, keluarga terdekat beliau, yang telah bersama beliau dalam susah dan senang, khusus dari saat beliau berada di arus perdana kepimpinan negara hinggalah ke hari-hari beliau mulai pulih dari serangan apabila beliau dibebaskan daripada penjara.

"Jelas kelihatan susuk tubuh badan pelaku dalam video tersebut amat berlainan daripada susuk badan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hal ini diperkukuh lagi memandangkan sejak lebih setahun yang lalu, anak-anak Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menemani beliau setiap kali beliau pergi melakukan aktiviti senaman dan fisioterapi selaku sebahagian daripada aktiviti pemuliharaan kesihatan tulang belakang," tambahnya.

Oleh itu, kata Wan Azizah, mereka sekeluarga berpendirian bahawa keluarnya video ini adalah satu lagi contoh taktik politik lucah dan menolak sekeras-kerasnya politik sedemikian.

sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Malaysia untuk bersama menegakkan keadilan dan menolak politik kotor.

"Kembalikan agenda perjuangan menuntut reformasi menyeluruh dalam sistem politik, ekonomi dan sosial negara," katanya sambil menambah bahawa dalam menghadapi dugaan ini, mereka yakin ada hikmah di sebaliknya.

"Pendedahan sedutan video ini dibuat pada 4 April 2011 – ulangtahun ke-12 Parti Keadilan Nasional yang lahir daripada kegawatan politik negara.

"Fitnah dan tohmahan ini berpunca daripada ketamakan terhadap kuasa dan politik yang sudah hilang nilai moralnya.

"Kita sewajarnya berbincang secara kritis perbezaan pandangan kita, bukan dengan serangan peribadi yang kotor dan hina," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua rakyat tidak terperangkap dengan permainan tersebut, dan sebaliknya meneruskan usaha menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran.

Ditanya mengapa beliau mengubah fikiran untuk menonton sedutan video tersebut, Wan Azizah berkata beliau diberitahu tidak ada unsur lucah dalam video itu.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Wan Azizah berkata

"Tidak ada apa-apa (perkara lucah) berlaku...(Jadi saya) nak memuaskan hati.

(Individu) itu bukan Anwar Ibrahim dalam video tersebut," tegasnya ketika menjawab soalan wartawan mengenai identiti lelaki tersebut.

Ditanya sama ada penyebaran sedutan video itu mengganggu atau mempengaruhi ahli PKR, Wan Azizah berkata, ceramah di Subang Jaya dua hari lalu, membuktikan semangat mereka naik kerana menyifatkan video itu "tidak beretika, memalu dan mengaibkan".

Ditanya sama ada akan menyahut cabaran pihak yang meminta Anwar bersumpah cara Islam, Wan Azizah berkata: "Tangkap dulu (Datuk T)..."

Menurut Wan Azizah lagi, tidak timbul sama ada video itu tulen atau tidak, tetapi sebaliknya menegaskan sekali lagi bahawa lelaki dalam video tersebut bukan Anwar.

Sementara itu, Wan Ismail pula - ketika menjawab soalan wartawan - berkata video tersebut adalah tuduhan yang tidak bermoral terhadap menantunya.

"Ia satu tuduhan yang tidak ada asas sama sekali. Orang itu tidak ada cara lain dah (maka mereka) berusaha pelbagai cara untuk memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

malaysiakini
Read more...

Monday, April 4, 2011

Pakatan bertembung di lebih 20 kerusi di Sarawak

Peluang Pakatan Rakyat di Sarawak dilihat makin sukar apabila rundingan pembahagian kerusi sesama mereka hampir pasti gagal, yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri di sekurang-kurangnya 23 kerusi.

Walaupun masih tinggal dua hari sebelum penamaan calon pada 6 April ini, rundingan PKR dan Snap dilihat buntu, terutama apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mula bercakap tentang "risau" dan "waspada".

"Beberapa minggu sebelum ini, mereka (Snap) mula bercakap tentang meningkatkan kerusi. Itu menimbulkan kerisauan," katanya sambil menyentuh tentang kemungkinan berlakunya pecah undi.

Anwar juga berkata, pembangkang perlu memastikan Pakatan Rakyat melawan BN di semua tempat.

"Sehubungan itu, jangan ada parti yang ditaja," katanya.
PKR hari ini mengumumkan sebahagian lagi calonnya dan memberikan watikah bagi bertanding dalam pilihan raya Sarawak di sebuah hotel di Sibu hari ini.

Berucap dalam majlis itu mengambil peluang menasihati calon parti itu supaya "kurang ngomong", sebaliknya menjelajah dan bertemu sebanyak mungkin pengundi di kawasan masing-masing.

Mengulas peluang Pakatan, Anwar berkata, dalam tempoh enam hari di bumi Kenyalang itu, beliau melihat "isyarat yang baik".

Sementara dalam sidang media selepas itu, ditanya tentang pertindihan kawasan dengan Snap, Anwar meminta supaya pemberita tunggu beberapa hari lagi supaya ia diselesaikan.

Menyentuh soal tuntutan 27 kerusi oleh Snap, Anwar berkata pembahagian sepatutnya berdasar kekuatan dan komitmen pada Pakatan.

"Soalnya adakah kita iltizam dengan agenda Pakatan Rakyat dan menentang BN?" Katanya.

Menjawab soalan, sambil menegaskan tidak merujuk langsung pada mana-mana parti, Anwar berharap tiada sabotaj dalam rundingan mereka.

PKR juga dikatakan akan bertanding di 48 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.
Read more...

Popular Posts